Decoration

MRA continues the tradition of helping the poor throughout Ramadan

KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) kini melancarkan kempen “Dekat di Mata, Lekat di Hati” bagi mengumpul sebanyak mungkin dana untuk membantu golongan kurang bernasib baik dan miskin sepanjang Ramadan ini.

Presidennya, Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata pihaknya meletakkan sasaran untuk mengutip sekurang-kurangnya RM500,000 menerusi kempen berkenaan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan sama ada di dalam mahu pun di luar negara.

“Selama satu dekad, MRA menyampaikan bantuan Ramadan kepada 14 negara yang terkesan dengan pelbagai krisis melarat dan kemiskinan.

“Keadaan konflik bersenjata dan bencana alam yang berterusan khususnya di Palestin, Syria, Yaman, Somalia, Indonesia dan Myanmar menyebabkan jutaan umat Islam di sana mengalami kesukaran untuk hidup, kelaparan dan kehausan akibat kekurangan makanan asas dan air bersih yang amat meruncing.

“Justeru, pada tahun ini, MRA sekali lagi menyemarakkan Ramadan dengan melancarkan kempen “Dekat di Mata, Lekat di Hati” dengan sasaran bantuan sebanyak RM500,000 bagi program dalam dan luar negara.

“Kempen ini akan mengangkat hasrat rakyat Malaysia yang prihatin untuk menyampaikan bantuan Ramadan kepada golongan sasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Daud berkata MRA menawarkan pakej bantuan bakul makanan berjumlah RM300 bagi satu keluarga dan majlis iftar bagi golongan miskin dengan sumbangan hanya RM10 seorang.

Dalam pada itu, beliau berkata MRA juga akan membuka dapur bergerak untuk menyediakan juadah berbuka puasa.

“MRA juga menganjurkan pelbagai program dalam negara melalui tujuh cawangannya di seluruh negara seperti santai sahur, majlis iftar, menyampaikan bakul makanan dan sumbangan pakaian raya.

“Bantuan ini disasarkan kepada fakir miskin, anak-anak yatim, pelajar maahad tahfiz, orang kurang upaya dan penduduk tanpa warganegara di Malaysia.

“Semoga dengan bantuan yang disampaikan akan memberikan keceriaan kepada mereka yang memerlukan untuk menjalani ibadah Ramadan dengan penuh kegembiraan,” katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan atau sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 5640 9820 6365 di atas nama Malaysian Relief Agency. Sebarang pertanyaan sila hubungi pejabat MRA di talian +603 9174 4672 atau 013-3371672.

Rabu, 24 April 2019 | 7:08pm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *